selamat datang ke laman rasmi dewarimba

Harimau Tunjukkan Buah Salak Masak  

Posted by dewa rimba adventure team in

Aku rasa cerita ni menarik sgt utk dikongsi bersama..pengalaman dr bro mountdweller utk jd renungan bersama..utk lebih info sila lawat blog beliau..http://mountdweller.blogspot.com/

Assalamu alaikum dan Salam Sejahtera buat semua sahabat maya.

Oleh kerana ramai yang ingin tahu pasal Harimau sejenis makhluk yang dikenali buas (bukan Tok Rimau yang pandai menaip) terutama Puan melayuangkat maka saya terpanggil untuk menceritakan sedikit tentang kisah harimau. Pertembungan saya dengan harimau sebenarnya sudah acap kali tetapi bukan di tempat yang sama.

Harimau tidak suka jumpa manusia:

Sebenarnya makhluk ini tidak suka berjumpa manusia dan akan mengelak dari berjumpa manusia. Dia boleh mengesan kehadiran manusia dengan bau/aroma manusia kerana harimau mempunyai deria bau yang kuat walau pun melalui angin. Itulah sebabnya penadaki atau penjelajah hutan amat jarang bertembung dengan harimau kecuali tiupan angin yang sehaluan dengan arah perjalannya. Itu pun sekiranya angin itu agak keras tiupannya. Jika di dalam keadaan biasa memang harimau mampu mengesan kehadiran manusia.

Tabiat Harimau:

Tabiat harimau sama macam kucing. Makan suka berebut dan tamak. Sekiranya terkejut, harimau akan melompat tangkas bersembunyi tetapi dia tidak akan lari jauh. Dia akan kembali mengintai apakah yang membuat dia terkejut tadi. Dengan mangsanya dia suka menunjuk kekuatan. Tengok pada kucing, kucing kalau dapat tangkap tikus dia tidak terus memakannya. Dia mempermainkan tikus itu hingga lembik terlebih dahulu dan akan menyeret mangsanya jauh dari tempat mangsa ditangkap sebelum memakanya. Begitu jugalah dengan harimau.

Kerana tabiat harimau begitu, sekiranya kita bertembung dengan harimau, harimau akan melompat bersembunyi dan di masa yang sama kita hendaklah cepat lari jauh dari tempat itu. Jangan panik. Kalau kita panik, kita tidak dapat lari dengan cepat bermakna kita lemah dan kita akan menjadi mangsa mainannya.

Sebab kita jadi mangsa:

Kita bukanlah mangsa sebenar bagi harimau. Kita adalah mangsa kebetulan. Memang dia tidak suka jumpa manusia tetapi pada situasi tertentu manusia juga akan menjadi mangsanya. Manusia menjadi mangsa harimau hanya sekiranya harimau berada di tiga situasi.

Pertama: Harimau tercedera atau sakit atau tua. Pada situasi ini harimau akan lemah dan lapar kerana tidak berdaya untuk berburu. Dia akan mencari mangsa yang lemah menjadi habuannya. Jikalau pada masa itu kita berada di tempat yang salah pada masa yang salah maka kitalah habuannaya kerana bagi harimau kita adalah mangsa yang lemah.

Kedua: Bila habitatnya diganggu dan dia tidak mendapat makanan. Bermakna dia lapar. Di situasi ini dia akan terasa terancam dan naluri mempertahankan hak. Mempertahan tempat/territory atau seekor ibu yang mempertahankan anaknya. Dia akan menjadi garang dan menyerang

Ketiga: Sekiranya dia terkejut dan terperangkap. Contohnya semasa dia terkejut, dia tidak ada ruang untuk lari. Dan itulah masanya kita akan menjadi mangsa.

Walau pun harimau cuba mengelak jumpa manusia tetapi saya sendiri mengalami dua peristiwa pelik. Pertama harimau mendengar kata sebagaiman saya ceritakan peristiwa di Gunung Ayam di dalam posting yang lalu dan yang keduanya di Bukit Bakar semasa saya treking pada malam hari dari Bukit Bakar, Machang ke Jeram Linang, Pasir Puteh. Kelantan.

Kumpulan kami memulakan trekking sudah lewat 5.00 petang. Pada waktu maghrib kami tiba di satu aliran kecil/anak air dan saya arahkan berhenti untuk solat dan memasak makan malam. Lebih kurang jam 9.00 malam kami meneruskan perjalanan. Lebih kurang satu jam lebih trekking kami sampai ke satu bukit. Pada masa itu saya minta Mad mengepalai perjalanan dan saya di belakang sekali. Sedang asyik berjalan dan melayan fikiran tiba-tiba saya terlanggar orang yang di hadapan saya. Rupanya semua orang berhenti mengejut. Saya tanya Mad apa halnya berhenti cara begitu. Dia cakap "Abe Din, ada barang di depan" Saya heran, barang apa pulak? Saya berlari ke hadapan mendapatkan Mad. Bila tiba di hadapan Mad, Mad menyuluh satu kesan yang saya tahu itu adalah kesan tapak harimau yang masih baru tetapi harimau tidak kelihatan. Agak besar juga, lebih kurang saiz piring kueh! Saya kata "Ooo harimau rupanya" Mad takut nak sebut "harimau".

Saya minta Mad pula berada di belakang sekali dan saya mengepalai dan meneruskan perjalanan. Dalam 5 minit berjalan saya terdengar cakaran harimau pada pasir dan daun kering. Saya arahkan berhenti sekejap. Lepas seketika kami terus berjalan. Sekejap lagi saya terdengar bunyi cakaran lagi. Begitulah seterunya berulang sampai 3 kali. Saya faham rupanya harimau itu menyuruh kami mengekorinya. Bila jauh sikit dari kami, harimau mencakar lagi. Kami berjalan sehingga sampai di puncak satu bukit yang dipenuhi pokok salak. Kami berhenti dan saya terbau bau buah salak masak, cukup harum. Saya suluh keliling, semuanya pokok salak. Saya suluh ke kaki saya, rupanya saya sudah terpijak setangkai salak yang memang sudah masak dan pecah. Rupannya buah yang pecah itulah yang menerbitkan bau harum itu. Salak Nangka.

Saya arahkan semua peserta meletak haversack masing-masing dan cari buah salak yang masak. Rupanya cukup banyak buah yang masak dan kami petik. Puas makan kami masukkan ke dalam beg untuk dibawa di perjalanan. Di masa ini cakaran harimau itu sudah tidak kedengaran lagi. Rupanya harimau itu memandu kami ke puncak bukit yang ada salak yang sudah masak. Harimau itu tunjukkan kami buah salak!

Ada lagi satu peristiwa yang dialami oleh arwah abang kedua saya. Satu masa dia tersesat di hutan semasa berburu. Arwah abang saya ini suka berburu. Dia berjalan sehingga hari malam tetapi masih tidak jumpa jalan keluar. Dia sudah putus asa sebab dia tidak bawa lampu suluh. Tiba di satu kawasan semak renek abang saya terdengar harimau mengaum lembut dan mencakar tanah. Abang saya cakap "Kalau kamu dari keturunan baik-baik, tolong hantar aku keluar" Tiba-tiba harimau itu mencakar dan abang saya ikut bunyi cakaran itu kerana tidak nampak apa-apa tanpa lampu. Sekejap sekejap bunyi cakaran demi cakaran dan abang saya terus ikut bunyi itu sehingglah keluar ke jalan raya yang menghubungkan bandar Machang dan Pasir Puteh. Bila abang saya sudah boleh keluar, dia kata kat harimau itu " Terima kasih, kau tunggulah esok petang aku akan bawa upah sepaha daging lembu untuk kamu" Selepas itu abang saya telefon kepada kawan untuk menjemputnya di tepi jalan itu.

Pada petang esoknya abang saya bawa sepaha daging lembu dan letakkan di tempat terakhir kesan tapak harimau kelihatan. Untuk pastikan harimau itu ambil atau tidak daging itu, lusa tu abang saya pergi ke tempat dia tinggalkan daging semalam dan dia dapati daging itu sudah tidak ada tetapi ada kesan harimau. Bermakna daging itu sudah diambil harimau.

Hasil tulisan blogger Mountdweller
http://mountdweller.blogspot.com/

This entry was posted on Thursday, March 12, 2009 at 7:02 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

2 comments

Salam kunjung balas. n3 ini merupakan satu penghargaan buat saya.

Sekiranya ada apa-apa masalah yang dirasakan saya boleh bantu, saya sentiasa terbuka untuk menolong semampu boleh.

March 12, 2009 at 7:35 AM

terima kasih byk bro mountdweller..harap post ni dpt beri byk info utk peminat rekreasi lain..harap2 kita dapat kongsi byk pengalaman lg..terima kasih sgt!

March 12, 2009 at 7:49 AM

Post a Comment